fb fb fb fb fb

Dua nelayan hilang ditemui selamat

(Foto Ihsan APMM)

KLANG, 14 Ogos- Dua nelayan yang dilaprkan hilang, ditemui selamat selepas bot yang dinaiki mereka mengalami kerosakan enjin di perairan Pulau Selat Kering pada Khamis lalu.

Bot nelayan bernombor pendaftaran SLFA 4080 itu dijumpai selamat oleh nelayan tempatan pada kedudukan 8.6 batu nautika barat Pulau Selat Kering, Selangor sekitar jam 1.00 tengah hari, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim V.Siva Kumar, berkata Pusat Operasi (PUSOP) Maritim Negeri Selangor menerima aduan mengenai kejadian tersebut daripada pemilik bot, L.Veerannan sekitar jam 9.50 pagi semalam kerana bot miliknya tidak pulang ke pangkalan sejak Khamis.

Akibat kerosakan enjin bot ketika belayar keluar, salah seorang rakan mangsa telah pulang ke jeti dengan menaiki bot yang lain untuk dibaiki.

Setelah selesai dibaiki, rakan mangsa menuju semula ke kedudukan bot tersebut, namun gagal dikesan.

Justeru, Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Johor Bharu telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 11.00 pagi semalam.

Maritim negeri Selangor telah mengatur gerak bot PERKASA 35 ke lokasi pencarian.

Kira-kira jam 1.00 petang semalam, PUSOP Maritim Negeri Selangor telah menerima panggilan daripada seorang nelayan tempatan memaklumkan mengenai penemuan bot nelayan yang hilang itu di kedudukan 8.6 batu nautika barat Pulau Selat Kering.

Dua mangsa warga tempatan berumur 37 dan 45 tahun ditemui selamat.

Nelayan dan bot ditunda ke jeti Pulau Ketam oleh sebuah bot nelayan lain untuk pembaikan. Operasi SAR ditamatkan pada jam 2.40 petang semalam.


(Foto Ihsan APMM)

Media Baharu