BATU PAHAT, 3 Julai - Dua lelaki maut dalam kemalangan melibatkan sebuah bas persiaran, lori tangki dan lori tunda, awal pagi tadi.
Kejadian berlaku di kilometer 80.7, Lebuhraya PLUS, arah selatan berhampiran Ayer Hitam.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II KUP Md Isa Masngun berkata, mangsa yang maut berusia 43 dan 44 tahun.
Kedua-dua mangsa ditemukan tersepit di dalam bas, sebelum berjaya dikeluarkan Pasukan Keluaran Operasi.
Bagaimanapun, mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Kemalangan turut menyebabkan 16 penumpang mengalami kecederaan, manakala 28 penumpang lagi dan dua pemandu lori, selamat.