fb fb fb fb fb

Dua lelaki maut kemalangan libatkan lima buah kenderaan

Foto FB JBPM

JOHOR BAHRU, 22 Disember - Dua lelaki maut dan seorang lagi cedera dalam kemalangan jalan raya melibatkan lima buah kenderaan di Plaza Tol Tanjung Kupang, Iskandar Puteri, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP Rahmat Ariffin berkata dalam kejadian pukul 5.50 pagi itu, sebuah lori dipercayai mengalami masalah brek dan hilang kawalan sebelum bergesel dengan sebuah treler, sebuah bas dan dua motosikal yang berada di lorong kiri plaza tol itu.

"Akibat kemalangan itu, dua penunggang motosikal berusia 49 dan 54 tahun cedera parah di bahagian kepala dan badan serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya menerusi kenyataan.

Rahmat berkata, pemandu treler, pemandu bas dan 29 penumpang tidak mengalami kecederaan.

"Seramai 10 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri dihantar ke lokasi kejadian bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit. Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru untuk tindakan lanjut manakala pemandu lori berusia 45 tahun yang cedera sedang menerima rawatan," katanya.

Tambah Rahmat, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN