fb fb fb fb fb

Dua beranak ditemukan maut di sebuah kediaman di Jalan Bukit Gambir

Mayat wanita berusia 40 tahun dan anak perempuannya dibawa keluar dari kediaman untuk tujuan siasatan

GEORGE TOWN, 1 Julai- Seorang wanita berusia 40 tahun dan anak perempuannya, 2 tahun ditemukan meninggal dunia di kediaman mereka di sebuah pangsapuri di Jalan Bukit Gambir, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Abdul Rozak Muhammad berkata, pihak polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung bau busuk disyaki datang dari kediaman terbabit kira-kira pukul 4.41 petang semalam.

"Sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut bersama anggota bomba telah bergegas ke lokasi kejadian sebelum memecah masuk ke rumah terbabit.

"Pasukan dari Unit Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) dan Pasukan Siasatan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang turut dikerah ke lokasi untuk membantu siasatan," kata Abdul Rozak Muhammad.

Kes diklasifikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu hasil bedah siasat.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI