fb fb fb fb fb

Peruntukan baiki cerun: Kelantan rakam penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan

Foto FB Mohd Nassuruddin Haji Daud

KUALA LUMPUR, 1 Julai- Kelantan merakam penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas kelulusan peruntukan lebih RM6.6 juta bagi membaik pulih cerun runtuh di Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Remah.

Menerusi perkongsian di Facebook semalam, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata kejadian itu berlaku pada 26 November tahun lepas akibat hujan lebat; menyebabkan berlaku pergerakan tanah sepanjang 130 meter dan mengakibatkan kerosakan struktur cerucuk keping di LRA itu.

Antara kerosakan lain yang terjejas adalah paip air mentah dan terawat pecah serta mengancam bangunan penting seperti bilik klorin, tangki bahan kimia dan sub-stesen Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Kerajaan Kelantan telah meluluskan peruntukan keseluruhan berjumlah RM235,000.00 bagi pelaksanaan dua kajian oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), iaitu Kajian Siasatan Tanah (Sl) dan Kajian Ukur Terperinci (Detailed Survey) di tapak LRA berkenaan.

"Inisiatif tersebut mendapat maklum balas positif apabila Kerajaan Persekutuan bersetuju menyalurkan peruntukan berjumlah RM6,612,200 bagi kerja-kerja baik pulih cerun terbabit.

"Kerajaan Kelantan merakamkan setinggi-tinggi perhargaan di atas kelulusan yang amat bermakna ini buat rakyat bagi memastikan masalah ini dapat diatasi dengan segera.

"Suara rakyat akan terus dibawa dengan semangat budaya politik matang dan sejahtera yang juga menzahirkan semangat federalisme yang tinggi antara kerajaan negeri dan Persekutuan demi kebaikan rakyat," katanya.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM