fb fb fb fb fb

Dokumen Inisiatif Lelaki Qawwam dilancar, perkasa ciri kepimpinan

PUTRAJAYA, 25 Oktober - Dokumen Inisiatif Lelaki Qawwam (ILQ) dilancarkan bagi memperkasakan golongan lelaki dengan ciri-ciri kepimpinan yang tinggi dalam usaha memperkukuhkan institusi kekeluargaan dan sosial.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata inisiatif itu berdasarkan kerangka Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang mementingkan pembinaan Keluarga Malaysia melalui pelaksanaan Pelan Tindakan Sosial Islam (PTSI) dalam strategi pengukuhan institusi keluarga dan sosial.

Katanya, inisiatif itu juga susulan terdapat beberapa kes yang dilaporkan mengenai keganasan rumah tangga serta masalah dalam institusi kekeluargaan dan sosial yang dilihat mampu memberi kesan kepada negara sekiranya tidak dibendung.

(Senator Datuk Idris Ahmad)

"Merupakan satu visi yang kita hendak selaraskan, walaupun kita bercakap tentang pendapatan negara maju, rakyat maju dan sebagainya, kita tidak mahu lupa asas yang ada kepada sebuah keluarga ini.

"Kita tidak mahu apabila telah sampai satu peringkat kemajuan dari segi material, namun asas institusi sosial dan kekeluargaan ini rosak sehingga menyebabkan kita terpaksa perbaiki balik menyebabkan kerugian dari segi masa dan wang ringgit," katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan dokumen ILQ, di sini.

Tambah Idris, inti pati dokumen itu akan dilaksanakan secepat mungkin dengan kerjasama pemegang taruh serta pelbagai agensi agar usaha itu dapat disalurkan ke peringkat akar umbi menerusi bengkel perkahwinan dan sebagainya.

Media Baharu