BANGI, 17 Disember- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah melancarkan Dasar Inovasi Sosial (DIS) 2025-2030 bagi menangani pelbagai isu sosioekonomi yang dihadapi oleh rakyat Malaysia.
Menurut Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohammad Yusof Apdal, melalui pelaksanaan DIS, kerajaan mampu mengatasi cabaran sosial termasuk masalah kemiskinan, jurang pendidikan, serta isu kesihatan.
"Dalam melaksanakan dasar ini, Malaysia perlu melangkah ke arah menjadi pemangkin teknologi, bukan sekadar pengguna semata-mata.
"Oleh itu, melalui pendekatan whole of nation, saya menyeru semua pihak untuk berganding bahu bersama kerajaan, khususnya MOSTI, demi merealisasikan visi dan aspirasi DIS," katanya pada Majlis Peluncuran DIS 2025-2030 dan Malam Apresiasi Networking Inovator Sosial bersempena Konvensyen Inovasi Sosial 2024 di sini.
Beliau turut menegaskan bahawa langkah berkenaan sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan serta prinsip alam sekitar, sosial, dan tadbir urus yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi.