
KUALA LUMPUR, 23 Januari – Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) dianggap sebagai lonjakan baharu dibawa Kerajaan Madani yang berpotensi menjadi laluan pendapatan negara, kata Pensyarah Kanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Profesor Dr Mohd Mizan Mohamad Aslam.
- DIPN berpotensi menjadikan Malaysia pengeluar aset ketenteraan sendiri, menjana laluan pendapatan baharu negara.
- Mengurangkan kebergantungan terhadap negara luar dan barat dalam pembangunan teknologi pertahanan.
- Memperkasa tenaga tempatan melalui institusi seperti UPNM untuk menyokong pertumbuhan dan kemampuan industri pertahanan.
Menurut beliau, DIPN memberi kelebihan baharu terhadap ekonomi negara kerana berpotensi menjadikan Malaysia pengeluar aset ketenteraan sendiri. Dasar itu juga dijangka mengurangkan kebergantungan terhadap negara luar dalam pembangunan teknologi pertahanan serta memperkukuh industri pertahanan untuk dimanfaatkan di Asia dan peringkat global.
“Selama ini kita hanya menjadi pembeli atau pengimport aset ketenteraan. Dasar ini mencerminkan usaha kerajaan mengurangkan kebergantungan terhadap negara Barat,” katanya.
Profesor Mizan turut menekankan kepentingan membangunkan nilai kemanusiaan dan insaniah untuk menyokong industri pertahanan.
Beliau berkata institusi seperti UPNM dan agensi berkaitan boleh bersama melahirkan tenaga kerja cemerlang bagi menyokong pertumbuhan sektor ini.
Beliau menambah, usaha memperkasa industri pertahanan melalui tenaga tempatan adalah langkah tepat, namun keupayaan yang mencukupi perlu dibina seiring pelaksanaannya. DIPN telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu lepas.