fb fb fb fb fb

Digitalisasi pelancongan mudahkan promosi industri pelancongan negara - Ab Rauf

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (tengah) pada Majlis Anugerah Industri Pelancongan 2024 di ibu negara

KUALA LUMPUR, 26 Julai - Digitalisasi dalam industri pelancongan negara memudahkan usaha memperkenal dan mempromosi destinasi pelancongan negara di persada antarabangsa.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata mengadaptasi teknologi digital seperti teknologi Kecerdasan Buatan (AI) mampu melancarkan aktiviti utama pelancongan seperti tempahan hotel.

Untuk itu, beliau berkata semua penggiat industri pelancongan tempatan perlu sentiasa kreatif dan inovatif dalam meningkatkan mutu perkhidmatan dan produk pelancongan negara.

“Pelancong dapat melakukan semua aktiviti tersebut di hujung jari mereka, tanpa perlu bergegas ke sana sini”, katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Industri Pelancongan 2024 di sini.

Tambah Ab Rauf, era digitalisasi yang serba canggih telah mempengaruhi hampir separuh daripada normalisasi sektor pelancongan terdahulu.

Oleh itu, beliau optimis, usaha dan komitmen berterusan daripada penggiat industri pelancongan tempatan akan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan antarabangsa.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN