fb fb fb fb fb

Dewan Rakyat: KPM dedah kadar keciciran pelajar menurun

Gambar fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 Mac - Kementerian Pendidikan (KPM) mendedahkan di Dewan Rakyat hari ini kadar keciciran pelajar mencatatkan trend penurunan dari tahun 2017 hingga tahun lalu.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata angka kadar keciciran berdasarkan untuk tempoh tujuh tahun bagi sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.

"Kadar keciciran murid pada peringkat sekolah rendah menurun daripada 0.29 peratus pada tahun 2017 kepada 0.06 peratus pada 2023.

"Sementara itu, pada peringkat sekolah menengah pula, kadar keciciran menurun daripada 1.36 peratus pada tahun 2017 kepada 0.83 peratus pada tahun 2023.

"Bagi sekolah rendah di bandar, kadar murid yang keluar daripada sekolah KPM adalah 0.37 peratus, manakala sekolah rendah di luar bandar adalah 0.10 peratus," katanya.

Menurut beliau, untuk peringkat menengah pula, kadar murid yang keluar daripada sekolah KPM adalah 3.13 peratus bagi sekolah di bandar dan 4.67 peratus merupakan murid di luar bandar.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Roslan Hashim adakah KPM mengenal pasti kadar keciciran murid, terutama dalam kalangan pelajar miskin bandar, luar bandar dan pinggir bandar, kanak-kanak Orang Asli dan tidak berdokumen.

Jelasnya, kementerian turut melaksanakan program capaian murid cicir di semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dengan kerjasama komuniti setempat.

Pada tahun lalu, program itu berjaya mengembalikan seramai 1,269 murid sekolah rendah dan 2,006 murid sekolah menengah ke sekolah.

GRACE AISYAH KEDAYAN