
KUALA LUMPUR, 10 Mac – Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2025) 2026 bagi perbelanjaan tambahan mengurus berjumlah RM8.4 bilion daripada Kumpulan Wang Disatukan.
- Kerajaan berjaya mengatasi sasaran defisit fiskal 2025, mencatat 3.7 peratus berbanding unjuran 3.8 peratus, menunjukkan pengurusan kewangan lebih berdisiplin.
- Hanya rakyat Malaysia dibenarkan membeli minyak masak bersubsidi; larangan warga asing berkuat kuasa penuh sejak 1 Mac 2026.
- Peruntukan pembangunan tambahan kepada MDHSB tidak dibahaskan di Dewan Negara kerana sudah diluluskan Dewan Rakyat untuk membantu pemulihan Vantris Energy melalui RCLS.
RUU berkenaan dibentangkan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan 17 Ahli Senator.
Beliau berkata, daripada RM8.4 bilion perbelanjaan tambahan mengurus, RM7.9 bilion dibentangkan untuk kelulusan di bawah RUU Perbekalan Tambahan 2025, manakala sejumlah RM472 juta adalah bagi maksud Tanggungan dan tidak dibahaskan.
“Walaupun jumlah perbelanjaan mengurus sebenar 2025 adalah lebih rendah berbanding peruntukan asal yang diluluskan pada tahun 2025, terdapat beberapa kementerian yang memerlukan peruntukan yang melebihi jumlah asal yang diluluskan.
“Anggaran Perbelanjaan Mengurus Tambahan Pertama 2025 sebanyak RM8.4 bilion disediakan bagi menampung tujuan tersebut dan jumlah tambahan ini telah termasuk dalam perbelanjaan mengurus sebenar tahun 2025 yang berjumlah RM330.8 bilion, iaitu masih di bawah peruntukan mengurus asal yang diluluskan tahun 2025 yang berjumlah RM335 bilion,” katanya.
Terdahulu, ketika penggulungan perbahasan RUU itu, Datuk Seri Amir Hamzah berkata, jumlah peruntukan tambahan itu telah dibelanjakan sepenuhnya pada 2025 dan ia tidak menjejaskan sasaran defisit fiskal yang ditetapkan pada tahun 2025 iaitu pada kadar 3.8 peratus.
“Untuk dua tahun berturut-turut, Kerajaan MADANI juga berjaya mengatasi sasaran defisit fiskal, yang mencatat 3.7 peratus pada 2025 berbanding unjuran asal 3.8 peratus menunjukkan bahawa pengurusan kewangan negara semakin berdisiplin dan berkesan.
“Trend penurunan defisit ini memberi isyarat positif terhadap kestabilan fiskal jangka sederhana dan indikator makroekonomi yang kukuh turut memberi manfaat kepada rakyat, khususnya kadar pengangguran 2025 pada 2.9 peratus iaitu terendah lebih sedekad serta kadar inflasi yang rendah pada 1.4 peratus pada 2025,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, hanya rakyat Malaysia layak membeli minyak masak paket bersubsidi, manakala warga asing dilarang secara rasmi melalui pewartaan peraturan baharu yang telah berkuat kuasa sepenuhnya mulai 1 Mac 2026.
Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup sedang mengkaji penggunaan MyKad untuk COSS bagi meluaskan penggunaan ekosistem sedia ada berasaskan MyKad, termasuk integrasi dengan sistem SARA, bagi memperkukuh pengesahan identiti dalam pemantauan penjualan minyak masak bersubsidi.
Mengulas mengenai peruntukan tambahan bagi perbelanjaan membangun (DE) 2025 kepada syarikat Malaysia Development Holdings Sdn. Bhd. (MDHSB), Datuk Seri Amir Hamzah berkata, ia tidak perlu dibahaskan di Dewan Negara kerana telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 26 Februari 2026.
MDHSB ialah Syarikat Bertujuan Khas (SPV) untuk membantu pelan pemulihan syarikat Vantris Energy Berhad (VTEB) (sebelum ini dikenali Sapura Energy Berhad) bagi melindungi ekosistem industri gas dan minyak tempatan.
Tambahan DE 2025 kepada MDHSB adalah untuk membiayai langganan Saham Pinjaman Boleh Tukar Boleh Tebus (Redeemable Convertible Loan Stocks – RCLS) berjumlah RM1.1 bilion yang diterbitkan Vantris Energy.