KUALA LUMPUR, 23 November – Deklarasi Kuala Lumpur-Tekad Bersama Perkhidmatan Awam Malaysia menjadi tanda komitmen penjawat awam di seluruh negara untuk mendukung agenda reformasi perkhidmatan awam secara menyeluruh.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata deklarasi tersebut dilancarkan sempena Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 yang dimeterai oleh semua pentadbiran kerajaan negeri.
"Ini adalah satu ikrar bahawa kita semua, di peringkat persekutuan dan negeri, bersatu hati untuk mengangkat martabat perkhidmatan awam yang berorientasikan kepentingan rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian 2TM dan konvensyen berkenaan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini.
Tambah Shamsul Azri, reformasi menyeluruh akan dilaksanakan pada tahun hadapan melalui pengenalan ILTIZAM Perkhidmatan Awam, yang bakal diangkat menjadi akta peringkat Persekutuan.
"Akta ini dirangka untuk memperkukuh struktur dan tadbir urus yang telus, memastikan tindakan dan keputusan berasaskan kepentingan rakyat. Ia juga langkah proaktif untuk mengurangkan kerenah birokrasi serta menoktahkan salah laku dan rasuah," katanya.
Beliau turut menyatakan, Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) akan diperkasakan bagi merealisasikan agenda reformasi perkhidmatan awam.
Antara inisiatif utama yang sedang diusahakan pasukan tersebut ialah pengenalan Pekeliling Reformasi Kerenah Birokrasi dan Pekeliling Uji Kaji Peraturan, yang bertujuan mempercepatkan proses penyampaian perkhidmatan kerajaan.
"Pekeliling ini akan menyokong perubahan secara sistematik, menjadikan urusan dengan kerajaan lebih mudah, cepat, dan tepat," katanya.
Beliau turut optimis, Malaysia berada pada landasan tepat untuk menjadi sebuah negara maju dan inklusif seiring dengan matlamat ekonomi MADANI.
"Masyarakat global semakin mengenali Malaysia serta mengagumi kepimpinan diplomasi Perdana Menteri di peringkat dunia. Negara kini diletakkan pada asas trajektori yang kukuh di peringkat nasional dan antarabangsa," katanya.