KUALA LUMPUR, 16 Oktober - Seramai 120 petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah dikerahkan susulan hujan lebat yang melanda ibu kota pada malam tadi.
Hujan yang bermula sekitar pukul 7.30 malam itu menyebabkan beberapa jalan utama di ibu kota dinaiki air.
Antara jalan terjejas termasuk Jalan Parlimen (berhadapan Bank Rakyat), Jalan Sultan (Petaling Street), Jalan Pudu (berhampiran Hospital Tung Shin), dan Jalan Kuching (di bawah Bulatan Segambut).
"Pasukan yang terlibat termasuk Flying Squad & kecemasan, skuad penyelamat, trafik warden, dan pasukan tunda.
"Di Bulatan Segambut, sebuah kenderaan rosak telah menyebabkan kesesakan, dan petugas DBKL telah tiba di lokasi untuk melakukan kerja tundaan," katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.
Pengguna jalan raya dinasihatkan berhati-hati dan mengelakkan laluan yang dinaiki air serta merujuk ramalan cuaca sebelum memulakan perjalanan.