Daya tahan ekonomi jadi keutamaan hadapi krisis tenaga

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir/ Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 6 April – Kerajaan memandang serius kesan krisis tenaga global terhadap industri khususnya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta industri kesihatan yang kini berdepan tekanan kos serta cabaran kesinambungan bekalan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keutamaan bukan sekadar bantuan jangka pendek tetapi memanjangkan daya tahan bekalan dan transformasi struktur ekonomi bertanggungjawab.
  • Rangka intervensi mesti ambil kira kedudukan fiskal dan beban subsidi minyak yang tinggi.
  • Sesi libat urus bersama PMAC dan pelbagai pihak bentangkan kesan kenaikan kos input serta tekanan rantaian bekalan.
  • Intervensi disasarkan dan berimpak tinggi untuk kurangkan tekanan industri tanpa memindahkan beban kepada rakyat.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata keutamaan kerajaan bukan sekadar meredakan tekanan jangka pendek, tetapi memanjangkan tahanan bekalan sedia ada dan melaksanakan transformasi struktur ekonomi secara bertanggungjawab.

“Semua ini perlu dilakukan dengan mengambil kira kedudukan fiskal negara yang sedang menanggung subsidi minyak yang tinggi. Matlamat kerajaan jelas iaitu mengurangkan beban industri, melindungi pengguna akhir dan memastikan ekonomi negara kekal berdaya tahan.

“Kurangkan tekanan industri, lindungi pengguna, perkukuh daya tahan negara,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, satu sesi libat urus telah diadakan bersama Jawatankuasa Penasihat Dasar kepada Perdana Menteri (PMAC) yang menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan.

Antara yang terlibat termasuk SME Corp. Malaysia, Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM), SAMENTA, SME Association of Malaysia, serta wakil industri kesihatan seperti Persatuan Pengilang-Pengilang Peranti Perubatan Malaysia (PERANTIM), Malaysian Association of Pharmaceutical Suppliers (MAPS), Pharmaceutical Association of Malaysia (PhAMA) dan Malaysian Organisation of Pharmaceutical Industries (MOPI).

Sesi tersebut memberi ruang kepada pemain industri membentangkan kesan langsung krisis tenaga global terhadap operasi perniagaan termasuk peningkatan kos input dan tekanan rantaian bekalan, manakala industri kesihatan menzahirkan kebimbangan terhadap kenaikan kos yang boleh menjejaskan perkhidmatan kesihatan yang penting.

Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata sebarang intervensi yang dirangka perlu benar-benar bersasar dan berimpak tinggi agar mampu mengurangkan tekanan kepada industri tanpa memindahkan beban tersebut kepada rakyat.

“Kerajaan kekal komited untuk memastikan kelangsungan perniagaan, kestabilan bekalan dan kesejahteraan rakyat terus dipelihara.

“Keutamaan kita adalah memastikan negara mempunyai ruang tindak balas yang mencukupi untuk mengurus tekanan global, sambil memperkukuh daya tahan negara dalam jangka sederhana dan panjang,” tambah beliau.