
PELABUHAN KLANG, 20 Jun- Selat Melaka yang menjadi antara laluan perdagangan maritim paling sibuk di dunia memerlukan data hidrografi tepat dan terkini bagi menjamin keselamatan pelayaran serta kelancaran ekonomi global.
- Konsep 'Malacca max' menetapkan piawaian pembinaan kapal mengikut kedalaman minimum laluan cetek Selat Melaka.
- Data hidrografi tepat dan terkini penting untuk keselamatan pelayaran serta kecekapan operasi pergerakan kapal.
- Gangguan laluan strategik boleh menjejaskan perdagangan serantau, rantaian bekalan global dan pasaran tenaga.
- Perkongsian data dan kerjasama semua agensi serta pihak berkepentingan diperlukan untuk mengekalkan keselamatan dan kelancaran laluan.
Ketua Pengarah Hidrografi, Laksamana Muda Dr Najhan Md Said berkata kepentingan Selat Melaka turut diiktiraf dalam industri perkapalan antarabangsa menerusi konsep ‘Malacca max’ iaitu piawaian pembinaan kapal yang mengambil kira kedalaman minimum di laluan paling cetek selat berkenaan.
Menurut beliau, kepadatan trafik kapal yang tinggi di Selat Melaka menjadikan data hidrografi sebagai elemen penting dalam memastikan pergerakan kapal dagang dapat dilakukan dengan selamat dan cekap.
“Fakta ini menunjukkan betapa pentingnya peranan hidrografi dalam memastikan data kedalaman laut sentiasa tepat dan terkini bagi menjamin keselamatan pelayaran.
“Selat Melaka bukan sahaja nadi perdagangan serantau, malah menjadi pemangkin kepada kestabilan ekonomi global,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Hidrografi Sedunia di Pusat Hidrografi Nasional di sini hari ini.
Beliau berkata sebarang gangguan terhadap laluan strategik itu bukan sahaja boleh menjejaskan perdagangan serantau, malah berpotensi memberi kesan kepada rantaian bekalan global serta pasaran tenaga dunia.
Katanya, data hidrografi perlu dilihat sebagai aset strategik negara yang menyokong keselamatan navigasi, kecekapan operasi pelabuhan serta kelancaran perdagangan antarabangsa.
“Tanggungjawab menjaga keselamatan laluan strategik ini tidak boleh dipikul oleh satu agensi sahaja. Ia memerlukan kerjasama erat antara semua agensi dan pihak berkepentingan dalam domain maritim negara.
“Melalui kebersamaan ini, Selat Melaka dapat terus kekal selamat, terbuka dan berfungsi sebagai laluan perdagangan utama dunia,” katanya.
Sambutan Hari Hidrografi Sedunia 2026 yang diraikan pada 21 Jun bertemakan “Transforming How Ocean Data is Shared” menekankan kepentingan perkongsian data hidrografi secara lebih berkesan dalam menjamin keselamatan pelayaran serta menyokong kestabilan ekonomi global.
Sebagai sebuah negara maritim yang terletak di laluan perdagangan utama dunia, Malaysia bergantung kepada data marin yang tepat, terkini dan boleh dipercayai bagi menyokong keselamatan pelayaran, pengurusan sumber marin, pembangunan ekonomi biru serta kepentingan maritim negara.