Darul Quran kekal bawah seliaan JAKIM

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Februari– Darul Quran, Kuala Kubu Bharu kekal berada bawah kawal selia Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memastikan ia terus unggul sebagai institusi tahfiz kebangsaan yang khusus dan berautoriti.

RINGKASAN BERITA AI
  • Darul Quran, Kuala Kubu Bharu kekal di bawah kawal selia JAKIM untuk memastikan ia terus unggul sebagai institusi tahfiz kebangsaan.
  • Kerajaan melaksanakan inisiatif kolaboratif dengan universiti awam dan institusi Islam untuk memperkukuh kemampanan dan kualiti pendidikan.
  • Program pensijilan tahfiz JAKIM-UIAM sejak 2000 membolehkan graduan melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma, ijazah dan pasca siswazah.

Sekaligus memenuhi keperluan semasa masa hadapan ummah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata kerajaan turut melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkukuh kemampanan Darul Quran.

Ini termasuk kolaborasi strategik dan universiti awam dan institusi pengajian tinggi Islam yang diiktiraf.

“Kerajaan berpandangan pendekatan kolaboratif ini adalah lebih pragmatik, berfasa dan berimpak selari dengan aspirasi pembangunan pendidikan Islam negara serta memastikan kualiti para pelajar terus terpelihara.

“Pendekatan ini membolehkan lepasan Darul Quran melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah dan pasca siswazah tanpa menjejaskan teras Darul Quran sebagai institusi tahfiz,” katanya.

Beliau menjawab soalan dikemukakan Ahli Parlimen Pasir Mas berhubung sama ada kerajaan berhasrat menaik taraf Darul Quran, Kuala Kubu Bharu menjadi universiti yang menawarkan program pengajian Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Kedoktoran.

Sejak tahun 2000, Darul Quran telah melaksanakan program pensijilan tahfiz Darul Al-Quran JAKIM-Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang membolehkan lepasan program pensijilan tahfiz Darul Quran yang memenuhi syarat melanjutkan pengajian di UIAM dalam pelbagai bidang pengajian.

Selain itu, seramai 2,403 graduan program pensijilan tahfiz Darul Quran direkodkan telah melanjutkan pengajian di pelbagai institusi pengajian tinggi awam dan swasta dalam peringkat diploma dan ijazah.