fb fb fb fb fb

Darul Qiyam Mall Bukit Kayu Hitam sunyi sepi sejak awal pandemic

(Keadaan Kompleks Darul Qiyam yang sunyi sepi)

BUKIT KAYU HITAM, 29 Oktober- Kerajaan Negeri Kedah digesa memberi perhatian serius bagi memastikan Darul Qiyam Mall di Bukit Kayu Hitam kembali menjadi daya tarikan pelancong tempatan dan asing untuk membeli belah.

Ketika ini, kompleks berkenaan sepi dan suram biarpun ianya terletak di tempat yang strategik iaitu di laluan pintu keluar masuk Malaysia-Thailand.

Pengerusi Majlis Pembangunan Usahawan dan Koperasi Daerah Kubang Pasu, Datuk Ahmad Zaini Japar berkata, sejak pandemik COVID-19 melanda negara pada tahun 2020 hingga kini, Darul Qiyam Mall terus sepi.

Malah hanya beberapa peniaga sahaja masih setia menjalankan perniagaan di sini walaupun ketiadaan pelanggan.

Manakala hampir 97 peratus premis perniagaan di kompleks yang serba indah ini tidak beroperasi.

Beliau berkata, kerajaan negeri perlu membangunkan Kompleks berkenaan agar menjadi daya tarikan orang ramai seiring dengan pembangunan industri pelaburan yang semakin rancak di sekitar kawasan Bukit Kayu Hitam.

Sekiranya tidak diatasi segera, peniaga yang masih terus menjalankan perniagaan disini boleh gulung tikar.

"Bagaimana hendak menjadikan Bandar Bukit Kayu Hitam ini sebuah mercu tanda atau mercu tarikan kepada rakyat Malaysia dan rakyat luar negara.

"Jadi kita terpaksa wujudkan satu 'fulling factor', kalau kita tidak ada ilmu kita serah kepada yang pakar untuk mencetuskan idea-idea baharu bagi membangunkan bandar sempadan kerana kalau kita lihat pembangunan di Bandar Danok (Thailand) dan Bukit Kayu Hitam tidak seimbang,"katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan ke Kompleks Darul Qiyam, Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Darul Qiyam Mall mula beroperasi pada tahun 2016.


(Datuk Ahmad Zaini Japar melakukan lawatan ke Kompleks Darul Qiyam, Bukit Kayu Hitam, Kedah)

Media Baharu