KUALA LUMPUR, 22 Februari- Golongan berpendapatan rendah berusia 40 tahun ke atas yang juga penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) boleh mendapatkan saringan kesihatan percuma menerusi Skim Peduli Kesihatan Untuk Kumpulan B40 (PeKa B40).
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menerusi hantaran video di aplikasi Tik Tok yang dikongsikannya di akuan Twitternya pada malam Isnin memaklumkan pendaftaran tidak diperlukan.
Khairy berkata, sebaliknya untuk memanfaatkan kemudahan itu, individu berkenaan boleh melayari laman sesawang PeKa B40 (www.pekab40.com.my) bagi menyemak kelayakan dan lokasi klinik yang berdaftar di bawah ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth)
"PeKa B40 bertujuan menampung keperluan kesihatan golongan berpendapatan rendah dengan memberi fokus kepada penyakit tidak berjangkit.
"Antara manfaat Skim PeKa B40 adalah saringan kesihatan, bantuan alat perubatan, insentif melengkapkan rawatan kanser dan insentif tambang pengangkutan," katanya.
Skim PeKa B40 diuruskan ProtectHealth yang menyediakan empat manfaat iaitu saringan kesihatan, bantuan alat perubatan sehingga RM20,000, insentif melengkapkan rawatan kanser (RM1,000) dan insentif tambang pengangkutan sehingga RM1,000.