
KUALA LUMPUR, 7 April – Dakwaan mengenai permohonan umum bagi tambahan had subsidi BUDI MADANI RON95 (BUDI95) adalah sama sekali tidak benar dan tidak berasas.
- Fungsi permohonan tambahan bukan untuk kegunaan peribadi; hanya bagi kes operasi yang disahkan.
- Butang permohonan tambahan pada portal BUDI95 telah dinyahfungsikan selepas disalah tafsir.
- Had subsidi 200 liter sebulan kekal untuk penyaluran bersasar dan memastikan kestabilan bekalan bahan api.
- Kerajaan akan memperkukuh penguatkuasaan serta memantau pasaran tenaga global dan membuat penyesuaian sewajarnya.
Kementerian Kewangan (MoF) menegaskan fungsi permohonan tambahan yang diperkenalkan pada peringkat awal pelaksanaan bukan untuk kegunaan peribadi, sebaliknya hanya melibatkan kes tertentu dengan keperluan operasi yang disahkan.
Antara kategori terlibat termasuk pemandu e-hailing dan pemilik bot, tertakluk kepada kriteria ditetapkan bagi memastikan pertimbangan tambahan dibuat secara terkawal serta berasaskan keperluan sebenar.
“Fungsi permohonan tambahan dalam portal BUDI95 telah disalah tafsir sebagai ruang untuk memohon peningkatan had kelayakan secara bebas.
“Susulan itu, butang permohonan ini telah dinyahfungsikan,” menurut kenyataan itu.
Menurut MOF, had kelayakan subsidi sebanyak 200 liter sebulan kekal berkuat kuasa bagi memastikan penyaluran bersasar kepada majoriti rakyat serta menjamin kestabilan bekalan bahan api.
Keputusan mengekalkan had sedia ada itu dibuat susulan tekanan berterusan pasaran tenaga global yang meningkatkan kos subsidi dan memerlukan pengurusan fiskal lebih berhemah.
Data menunjukkan had tersebut mencukupi bagi kira-kira 90 peratus pengguna, sekali gus membuktikan pelaksanaan semasa masih relevan dalam memenuhi keperluan majoriti penerima subsidi.
“Pada harga bersubsidi RM1.99 seliter, pengguna boleh membeli RON95 sehingga RM398 sebulan, dengan Kerajaan menanggung sekitar RM500 subsidi bagi setiap penerima,” menurut kenyataan itu.
MoF menegaskan kerajaan akan terus memperkukuh penguatkuasaan bagi membendung ketirisan, di samping memantau rapi pasaran tenaga global serta bersedia membuat penyesuaian sewajarnya.