ISKANDAR PUTERI, 13 Mei- Dakwaan Forest City, Iskandar Puteri, Johor diberi kelulusan untuk pembangunan kasino, adalah fitnah liar dan tidak benar tegas Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Perkara itu memberi persepsi jahat yang ditimbulkan bagi menggagalkan pembangunan hartanah itu yang akan dijadikan sebagai Zon Kewangan Khas (SFZ).
"Ia tidak ubah umpama bau busuk tidak berbangkai atau rantai besi dimakan. Fitnah yang tak masuk akal sama sekali melainkan hanya unsurkan niat jahat utk mencemar imej Forest City dan Johor secara berterusan," katanya ketika menjawab soalan lisan daripada Ahli Dewan Negeri (ADUN) Johor Jaya Liow Cai Tung semasa Persidangan ke-3 Dewan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, di sini.
Liow ingin tahu berkenaan kesahihan laporan berita media antarabangsa mengenai cadangan pembangunan pusat kasino di Forest City yang diberikan kerajaan negeri.
Dalam pada itu Onn Hafiz berkata, perkara itu seolah-olah mengulangi persepsi negatif bagi menggagalkan pembangunan hartanah yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu pada tahun 2018 dengan pelbagai hasutan dan fitnah.
Pembangunan di Forest City bakal memberikan pelbagai manfaat kepada rakyat dan juga pembangunan ekonomi Johor, serta Malaysia secara amnya.