fb fb fb fb fb

Daftar derma organ lalui MySejahtera mulai 6 Sept ini

KUALA LUMPUR, 4 September - Pendaftaran sebagai pengikrar derma organ boleh dilakukan melalui aplikasi MySejahtera mulai Selasa ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menjelaskan keperluan itu susulan kadar pendermaan organ di negara ini sangat rendah.

“Apabila mereka buat ikrar melalui MySejahtera maklumat itu terus sampai ke Pusat Sumber Transplan Nasional. Sekiranya berlaku kes kematian mana-mana hospital dan layak derma organ, ia akan keluar dalam sistem,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan penutupan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Kebangsaan 2022 di sini hari ini.

Malaysia tergolong antara 10 negara yang mempunyai kadar transplantasi terendah di dunia bagi 2021 iaitu 2.84 pembedahan transplantasi bagi setiap 1 juta populasi menurut Global Observatory on Donation and Transplantation.

“Berdasarkan statistik terkini pendermaan organ dari Pusat Sumber Transplan Nasional pada Julai 2022 menunjukkan terdapat sebanyak 779 penderma organ sebenar selepas kematian sejak 1997 manakala jumlah pengikrar penderma organ selepas kematian adalah seramai 517,758 orang sejak 1997,” katanya.

(Menteri Kesihatan menghadiri Majlis Perasmian Penutupan Kesedaran
Pendermaan Organ Peringkat Kebangsaan 2022 di Dataran PPR Seri Alam 2/FOTO FB KKM)

Diperincikan, ikrar yang dibuat penderma menerusi MySejahtera itu, terus ke Pusat Sumber Transplan Nasional.

Bilangan pesakit yang masih menunggu untuk mendapatkan derma organ, setakat hari ini seramai 10, 442 individu.

Namun, hanya 2,700 kes transplantasi melibatkan pendermaan organ dijalankan sejak 1975.

Media Baharu