Cubaan bantu budak lemas hampir ragut nyawa saksi

Muhammad Hafidz Mokhtar, Saksi kejadian

KUALA NERUS, 10 Januari -Cubaan menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang dikhuatiri lemas di Pantai Sauh, petang semalam, hampir meragut nyawa seorang saksi kejadian.

RINGKASAN BERITA AI
  • Usaha menyelamatkan kanak-kanak di Pantai Sauh gagal akibat ombak besar dan arus laut deras.
  • Saksi, Muhammad Hafidz Mokhtar, hampir terkorban ketika cuba membantu kerana air masuk hidung dan arus kuat.
  • Operasi mencari dan menyelamat memasuki hari kedua melibatkan pelbagai agensi keselamatan.

Nelayan tempatan, Muhammad Hafidz Mokhtar, 34 tahun berkata, beliau segera berlari ke arah pantai selepas terdengar jeritan meminta tolong ketika sedang berehat bersama rakan-rakan di sebuah pangkin berhampiran lokasi tersebut.

Namun usaha untuk berenang mendapatkan mangsa yang tenggelam timbul gagal berikutan ombak besar dan arus laut yang deras.

“Bila masuk dalam air, gelombang terlampau besar. Air masuk hidung, pasir keluar ikut mulut. Tak boleh pergi terus sebab air terlalu laju,” katanya.

Beliau berkata, keadaan menjadi semakin berbahaya apabila arus laut semakin kuat, menyebabkan mangsa dihanyutkan dengan pantas ke arah laut.

“Air makin lama makin cepat. Kami memang tak mampu selamatkan budak itu,” ujarnya lagi.

Terdahulu, mangsa Muhammad Zarif Mohd Hazahari dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan ombak besar ketika sedang membasuh kaki di Pantai Sauh.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa memasuki hari kedua hari ini, melibatkan pelbagai agensi keselamatan yang masih berkampung di lokasi kejadian.