SUNGAI PETANI, 11 Januari- Seorang penunggang motosikal maut selepas motosikalnya dirempuh sebuah kereta yang hilang kawalan ketika cuba mengelak sebuah motosikal lain yang melintas dari arah bertentangan dalam kemalangan di jalan Sungai Lalang-Bukit Selambau, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Wan Azharuddin Bin Wan Ismail memaklumkan kejadian berlaku sekitar pukul 10.30 malam dan mengakibatkan mangsa iaitu seorang pembantu kedai makan mengalami kecederaan parah di kepala.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala motosikalnya rosak teruk akibat impak pelanggaran.
Menurut Wan Azharuddin, kemalangan itu bermula apabila sebuah kereta yang dipandu seorang wanita berusia 44 tahun cuba mengelak sebuah motosikal yang ditunggang seorang pelajar kolej komuniti.
Motosikal pelajar lelaki itu dilaporkan melintas dari arah bahu kiri ke kanan jalan dan terjatuh ke bahu jalan berpasir.
Sebuah lagi motosikal yang ditunggang seorang pelajar perempuan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bedong turut terbabas selepas cuba mengelak kereta berkenaan.
Kedua-dua pelajar berkenaan hanya mengalami kecederaan ringan.
Pemandu kereta yang bekerja sebagai pembantu perawatan hospital juga mengalami kecederaan ringan, manakala penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk bedah siasat.
Wan Azharuddin berkata punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan dan kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.