JITRA, 2 Julai- Buah durian di Kedah mendapat sambutan menggalakkan biarpun hasil durian musim ini berkurangan sehingga 30 peratus berbanding tahun lalu.
Pengurangan tersebut disebabkan oleh keadaan cuaca panas yang melanda negeri itu sejak beberapa bulan lalu.
Bagaimanapun ada pengusaha durian yang mengeluarkan hasil yang banyak.
Pemilik Dusun Tok Kalau, Norhazam Alias berkata, buah durian yang dihasilkan di dusunnya pada musim ini masih sama seperti sebelum ini.
Ketika musim keramau yang berpanjangan, beliau akan memastikan kira-kira 400 pokok durian pelbagai varieti mendapat bekalan air yang secukupnya.
Katanya, buah duriannya tidak dijual di pasaran luar sebaliknya peminat durian boleh menikmati raja buah itu di dusunnya yang terletak di Kampung Carok Jambu, Mukim Malau, Jitra sambil menikmati keindahan alam semulajadi.
"Mendapat sambutan orang untuk datang makan durian di dusun, nikmati suasana dusun, makan sendiri dalam dusun, itu konsep yang Pak Lang buat dalam dusun ni.
"Semua buah-buah yang ada ni Pak Lang hanya jual dalam dusun. Tetamu atau pengunjung akan rasa sendiri buah dalam dusun Pak Lang, apa variety yang ada dalam dusun Pak Lang sendiri,"katanya.
Sementara itu, pemilik dusun durian dari Kampung Sungai Tok Pawang, Gurun, Teoh Seng Khoon pula berkata tahun lalu dusun beliau mampu mengeluarkan berpuluh metrik tan buah durian.
Bagaimanapun, cuaca terlalu panas dan kemarau berpanjangan pada bulan Februari, Mac dan April lalu menyebabkan bunga durian luruh lebih awal.
"Susah nak kekalkan jumlah pengeluaran, apalagi bila hujan. Jadi bila bunga mengembang dan malamya hujan, polinetion jadi kurang berjaya. Oleh itu, durian akan berkurangan berbanding dengan tahun lepas,"kata Teoh Seng Khoon.