fb fb fb fb fb

COVID-19: Mahasiswa tercicir, boleh sambung semula pengajian

KUALA LUMPUR, 4 Ogos- Isu kebajikan mahasiswa yang terpaksa menangguhkan pengajian akibat COVID-19 sentiasa diberi perhatian.

Menteri Pengajian Tinggi , Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata mana-mana pelajar yang berdepan situasi tersebut dibenar menyambung semula pengajian di universiti masing-masing.

Jelas beliau, secara dasar, pelajar yang tidak menamatkan pengajian, boleh membuat permohonan baharu melalui UPUOnline.

"Inisiatif kementerian melalui agenda pembelajaran sepanjang hayat seperti yang dinyatakan dalam lonjakan 3: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 adalah merupakan inisiatif KPT bagi memastikan peluang pembelajaran sentiasa terbuka kepada semua peringkat masyarakat. Sebagai menyokong agenda ini, kementerian melalui agensi kelayakan malaysia (MQA) juga turut menggalakkan penyertaan dalam kursus-kursus microcredentials yang dilaksanakan di IPT," katanya pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Ujarnya lagi, bagi membantu pelajar di IPTA meneruskan pengajian, kementerian melaksanakan program intervensi akademik seperti sistem penasihat akademik.

Program intervensi bukan akademik pula meliputi perkhidmatan kaunseling, program mentor-mentee dan program motivasi.

Noraini menjawab pertanyaan wakil Johor Bharu Tuan Akmal Nasrullah Mohd Nasir.


(FOTO FAIL)

Media Baharu