ALOR GAJAH, 9 September - Guru yang kematian anak di sebuah taman asuhan kanak-kanak, Taman Kelemak Utama pada Jumaat lepas akan kembali bertugas selepas cuti sekolah pertengahan penggal kedua ini.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata guru tersebut, Sabrina Hakiem Zaini, 39 tahun sangat komited untuk melaksanakan tugasnya di sebalik ujian yang ditempuhi ketika ini.
“Sabrina akan kembali bertugas selepas cuti September inilah. Jadi beliau buat keputusan untuk meneruskan kerjaya sebagai guru. Nampak beliau masih mempunyai semangat yang kuat dalam pendidikan dan merupakan guru yang sangat komited,” katanya ketika menziarahi Sabrina dan keluarganya di Taman Kelemak Utama, Alor Gajah.
Fadhlina memberi jaminan Kementerian Pendidikan akan memberikan sokongan dan bantuan diperlukan guru tersebut termasuklah persediaan untuk beliau kembali bertugas kelak.
Media sebelum ini melaporkan seorang bayi meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Alor Gajah dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan mulut berdarah dan muka kebiru-biruan.
Susulan itu, polis menahan seorang wanita berusia 34 tahun di taska berkenaan pada Jumaat lepas bagi membantu siasatan.
Bapa bayi itu Mejar Mohd Fikry Amri Abd Halim memaklumkan anaknya Muhammad Al Fateh Amri baru lima hari dihantar ke taska berkenaan.
Mereka sebelum ini sudah menunggu selama 13 tahun untuk mendapatkan cahaya mata pertama.- BERNAMA