CERT bantu tangani sistemik teknologi baharu

Datuk Fahmi dalam sidang media selepas pelancaran CERT di ibu negara.

KUALA LUMPUR, 15 Januari – Pelancaran Center for Responsible Technology (CERT) antara langkah strategik kerajaan menangani kesan sistemik teknologi baharu, khususnya AI.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelancaran CERT sebagai langkah strategik kerajaan menangani impak sistemik teknologi baharu termasuk AI.
  • Dapatan kajian CERT akan dibawa ke Jemaah Menteri sebagai asas pembentukan dasar teknologi negara.
  • CERT, diterajui ISIS Malaysia dengan sokongan SKMM, bertujuan memastikan teknologi dimanfaatkan secara bertanggungjawab dan selamat.

Ia bertujuan mengkaji impak teknologi baharu, termasuk kecerdasan buatan terhadap masyarakat tanpa mengekang inovasi.

Jelas Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, dapatan kajian akan dibawa kepada Jemaah Menteri sebagai asas pembentukan dasar teknologi negara.

“Jadi ini yang saya percaya akan dapat kita usahakan setelah siri kajian dilaksana dan Insya-Allah kita akan bawa hasil dan dapatan daripada kajian CERT ini ke Jemaah Menteri.

“Saya percaya proses itu akan sangat terangkum kerana saya telah meminta supaya pelbagai lapisan masyarakat, pihak-pihak yang berkepentingan termasuk badan-badan kaji selidik bukan hanya dalam negara tapi juga di rantau Asia Tenggara setidak- tidaknya dihubungi dan dilibatkan supaya kita mempunyai satu pandangan yang lebih menyeluruh berkaitan perkembangan teknologi termasuk kecerdasan buatan dan kesan kepada masyarakat dan negara, “katanya.

Beliau berkata demikian dalam Sidang Media selepas pelancaran CERT di sini.

CERT yang diterajui Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia dengan sokongan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia akan menjadi rujukan penting memastikan teknologi dimanfaatkan secara bertanggungjawab dan selamat untuk semua.