PUTRAJAYA, 19 Februari- Sebuah lagi cawangan pasport akan dibuka di Lapangan Terbangan Antarabangsa Kota Kinabalu Sabah pada Jun depan.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pejabat tersebut sedang dalam proses ubah suai sebelum beroperasi sepenuhnya.
"Melalui cara ini, kita dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan tanpa menambah jawatan tetapi permudah urusan dengan masyarakat," katanya pada sidang Majlis Perasmian Pembukaan Pejabat Pasport Shaftbury di Putrajaya.
Mengenai pengoperasian pejabat pasport Shaftbury yang baharu itu, beliau berkata ia adalah pejabat ke-78 dibuka dan salah satu pejabat yang menerima permohonan untuk perbaharui pasport secara dalam talian sahaja.
Setakat ini terdapat empat pejabat yang melakukan urusan pembaharuan pasport secara dalam talian termasuk pejabat di Wangsa Maju, Kajang dan Kelana Jaya.
Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Saifuddin menyatakan sebanyak 3,057,825 pasport dikeluarkan tahun lepas berbanding 2,574,435 pada tahun 2022 yang menyaksikan peningkatan sebanyak 20 peratus.