fb fb fb fb fb

'Car Safety Reminder' tingkat ciri keselamatan kenderaan

ALOR SETAR, 16 Julai - Dua pelajar Teknologi Automotif, Kolej Vokasional Alor Setar (KVAS) berjaya menghasilkan teknologi inovasi terbaru yang dinamakan ‘Car Safety Reminder'.

Ciptaan itu terbit setelah melihat kes-kes kemalangan dan kematian dalam kenderaan yang berpunca daripada kecuaian pemandu.

Teknologi inovasi tersebut diiktiraf dan diakui keberkesanannya apabila berjaya memenangi emas dalam Pertandingan Inovasi dan Robotik peringkat Kebangsaan (INORO TVET ’23) di Kulim, Kedah baru-baru ini.

'Car Safety Reminder' dihasilkan oleh dua pelajar KVAS iaitu Aidil Farhan Abdul Razak dan Ahmad Haiqal Rosdi yang mendapat bimbingan guru KVAS sendiri.

Teknologi ini dicipta rentetan daripada beberapa kejadian apabila terdapat sebilangan pemandu yang tidak mematikan enjin kenderaan semasa mengisi minyak, menggunakan telefon bimbit semasa mengisi minyak dan tidak memberi perhatian semasa mengisi minyak.

Bagi mengatasi masalah tersebut, teknologi baharu dibangunkan bagi meningkatkan ciri-ciri keselamatan kenderaan serta mengurangkan risiko kemalangan.

Produk itu menggunakan penderia gas petrol dan kualiti udara sebagai pengesan utama, mudah untuk dipasang dengan saiz yang kompak, mempunyai paparan digital untuk menunjukkan kualiti udara dan tahap gas petrol, serta meningkatkan tahap keselamatan semasa prosedur mengisi minyak dilakukan.

"Kami mendapat idea ini daripada isu-isu semasa yang berlaku sekarang contohnya berlakunya kebakaran di stesen minyak dan terdapat kematian yang berlaku akibat tertidur di dalam kereta dari situ kami dapat idea buat projek inovasi ini", kata pelajar KVAS, Ahmad Haiqal Rosdi.

"Sistem ini berfungsi untuk memberi peringatan kepada pemandu supaya tidak menggunakan telefon bimbit, yang kedua cermin tingkap akan ditutup secara automatik bagi pemandu yang tidak menutup tingkap semasa mengisi minyak. Yang ketiga, enjin akan dimatikan secara automatik apabila pemandu tersebut lupa untuk mematikan enjin kenderaan semasa mengisi minyak," kata pelajar KVAS, Aidil Farhan Abdul Razak.

(Pelajar KVAS menunjukkan ciptaan teknologi inovasi terbaru mereka ‘Car Safety Reminder')

Sementara itu, Yang Dipertua, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) KVAS, Datuk Badrol Hisham Hashim berharap produk tersebut dapat dikomersialkan kerana mempunyai ciri-ciri tambahan keselamatan kenderaan untuk masa hadapan.

"Ini satu teknologi yang bertaraf dunia bagi saya, dan bagi syarikat-syarikat automotif yang berminat saya rasa boleh berbincang dengan pihak KVAS untuk kita berkolaborasi antara teknologi ini dengan syarikat-syarikat supaya kita dapat mempamerkan tentang teknologi yang canggih ini di pasaran dunia dan pasaran Malaysia Insya-Allah di masa depan,"

Beliau bercakap kepada RTM selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada pelajar KVAS yang mendapat pingat emas dan Perak* *pada Pertandingan Inovasi dan Robotik peringkat Kebangsaan (INORO TVET ’23) di KVAS , di sini.


Media Baharu