fb fb fb fb fb

Calon boleh semak keputusan ke MRSM mulai Rabu ini

KUALA LUMPUR, 7 Mac - Calon-calon bagi kemasukan ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tingkatan Satu dan Empat sesi 2022 boleh membuat semakan tawaran bermula Rabu ini, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Menurut beliau, Majlis Amanah Rakyat Malaysia (MARA) mengekalkan dasar 60 peratus pengambilan pelajar daripada keluarga B40 selain keutamaan diberikan kepada kepada calon luar bandar dan miskin bandar.

"Calon yang berjaya ditawarkan ke MRSM akan menerima notifikasi menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) atau emel yang telah didaftarkan semasa permohonan.

"Kemudian calon tersebut perlu membuat pengesahan penerimaan tawaran kemasukan ke MRSM dalam tempoh tujuh hari menerusi pautan dalam portal.

"Sekiranya calon tidak membuat pengesahan penerimaan dalam tempoh tersebut, tawaran berkenaan dianggap terbatal," katanya.

(MARA kekal dasar 60 peratus mengambil pelajar daripada B40/FOTO hiasan)

 Tambah Mahdzir, sebarang pertukaran program dan penempatan MRSM adalah tidak dibenarkan.

"Sekiranya pemohon tidak menerima sebarang makluman tawaran sehingga 31 Mei ini, permohonan adalah dianggap tidak berjaya," tambah beliau.

Tahun ini MARA menerima 74,500 permohonan ke tingkatan 1 dan 4 untuk kemasukan ke sekolah berasrama penuh itu.

Kapasiti kemasukan pelajar ke tingkatan 1 seramai 7,949 orang manakala tingkatan 4 seramai 1,930 orang pelajar.

Setakat ini MRSM menawarkan sebanyak enam (6) program iaitu MRSM International General Certificate of Secondary Education (IGCSE), MRSM International Baccalaureate-Middle Year Programme (IB-MYP), MRSM Ulul Albab, MRSM Program Bitara, MRSM Premier dan MRSM Teknikal di bawah Sistem Pendidikan MRSM (SPMRSM).

Pemohon juga boleh membuat semakan menerusi portal rasmi MARA di https://www.mara.gov.my/ serta dapatkan makluman terkini berkenaan tawaran juga boleh didapati melalui media sosial MARA seperti Facebook, Twitter dan Instagram.

Media Baharu