fb fb fb fb fb

Cadangan atasi banjir di Durian Tunggal dikemuka kepada PM

Setiausaha Politik PM, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin

DURIAN TUNGGAL, 22 April- Beberapa cadangan mengenai usaha mengatasi masalah banjir terutamanya di Durian Tunggal, Melaka akan dibawa kepada pengetahuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Politik Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata ia penting bagi memastikan peruntukan khas dapat disalurkan dan tindakan segera dapat diambil.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa bersedia bekerjasama kerajaan negeri dalam usaha mengatasi sebarang masalah berkaitan banjir di negeri itu.

"Ya, kita dari semasa ke semasa memang meneliti isu-isu ini supaya dapat kita ambil tindakan secara komprehensif. Seperti mana yang kita sedia maklum Perdana Menteri sejak dari awal lagi telah menyatakan komitmen kerajaan untuk membangunkan rancangan tebatan banjir (RTB).

"Rancangan tebatan banjir ini memang penyelesaian yang menyeluruh bagi jangka masa panjang dan sudah pastilah bila perkara ini diumumkan di peringkat awal lagi ketika beliau menjadi Perdana Menteri", katanya ketika ditemui selepas menyampaikan Sumbangan Kecemasan Perdana Menteri Kepada penduduk terjejas banjir di kampung Bukit Balai, Durian Tunggal.

"Ia menunjukkan kecaknaan Perdana Menteri itu untuk menyelesaikan perkara-perkara yang berdepan dengan musibah ini, maksudnya musibah banjir ini", katanya.

Sebanyak 13 keluarga terjejas akibat banjir telah menerima Sumbangan Kecemasan Perdana Menteri yang memperuntukkan sebanyak RM500 kepada setiap penerima.

ROSLINA BINTI DIN