fb fb fb fb fb

CAAM gantung sijil AOC MYAirline

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 16 Oktober- Sijil Perakuan Pengendali Udara (AOC) syarikat penerbangan MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) digantung sementara berkuat kuasa hari ini.

Ia bagi membolehkan audit terperinci dijalankan terhadap syarikat itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Datuk Norazman Mahmud menerusi satu kenyataan memaklumkan penggantungan sijil berkenaan bawah Peraturan 193(3) Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 adalah selama 90 hari sementara menunggu siasatan lanjut oleh CAAM.

"Audit keselamatan terperinci akan dijalankan terhadap MYAirline semasa penggantungan sementara ini untuk menilai semula keupayaan syarikat penerbangan itu.

"Sebagai badan kawal selia teknikal bagi industri penerbangan di Malaysia, CAAM bertanggungjawab mengawasi segala aspek teknikal pengoperasian udara bagi memastikan semua piawaian keselamatan dan sekuriti dipatuhi,” katanya.

Jelas Norazman, audit keselamatan telah dijalankan terhadap MYAirline dari 29 Mei hingga 1 Jun lepas bagi pembaharuan AOC dan pada masa itu, tiada penemuan yang menunjukkan terdapat masalah kewangan.

“Elemen senarai semak penunjuk kewangan seperti dalam Dokumen 8335 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) juga dimasukkan dalam proses audit keselamatan.

“Sebagai sebahagian daripada proses audit keselamatan, pemegang AOC perlu menyediakan bukti kemampuan kewangan kepada CAAM. Ini bagi memastikan pengendali operasi udara mempunyai sumber kewangan untuk menjalankan operasi yang dirancang.

"Sekiranya timbul isu kewangan, pemberitahuan bertulis perlu diberikan segera kepada CAAM bagi memastikan tiada sebarang kompromi terhadap keselamatan operasi,” katanya.

Sehingga ke hari ini, MYAirline tidak menghantar sebarang notis pemberitahuan kepada CAAM seperti yang dinyatakan.

MYAirline mengumumkan penggantungan operasinya pada 12 Okt lepas sehingga diberitahu kelak berikutan tekanan kewangan ketara yang menyebabkan operasi perlu digantung, sementara menunggu penstrukturan dan permodalan semula oleh pemegang saham syarikat penerbangan itu.

AOC dikeluarkan bagi memberi kelulusan kepada pengendali operasi udara untuk terlibat dalam pengoperasian pesawat tertentu.


(FOTO HIASAN)

Media Baharu