(FOTO HIASAN)
KUALA LUMPUR, 12 April- Bursa Malaysia bergerak rendah pada sesi dagangan tengah hari berikutan tekanan jualan yang berterusan walaupun kebanyakan bursa serantau mempamerkan prestasi memberangsangkan.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.67 mata kepada 1,433.22 daripada penutupan semalam pada 1,435.89.
Bagaimanapun, indeks utama dibuka 1.13 mata lebih tinggi pada 1,437.02 pagi ini dan diniagakan antara 1,429.0 dan 1,437.08 semasa sesi dagangan berkenaan.
Pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 428 berbalas 295 manakala 389 kaunter tidak berubah, 1,151 tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung.
Jumlah dagangan 1.63 bilion unit bernilai RM803.26 juta.
Menurut Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikannya, prestasi menurun semalaman Nasdaq mungkin turut menjejaskan sektor teknologi tempatan.
"Pelabur dijangka mendapatkan sektor defensif seperti keperluan pengguna, utiliti dan telekomunikasi," katanya.
Namun begitu, ia berkata momentum dagangan mungkin kekal kukuh dalam sektor tenaga, memandangkan harga minyak mentah yang berdaya tahan.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut tiga sen kepada RM8.70, Tenaga Nasional turun lapan sen menjadi RM9.05 dan CIMB tidak berubah pada RM5.22 manakala Public Bank naik satu sen kepada RM4 dan Petronas Chemicals meningkat dua sen kepada RM7.40 .
Bagi saham aktif, Tanco turun setengah sen menjadi 46.5 sen, Jade Marvel susut satu sen kepada 30 sen dan Careplus lemah dua sen untuk mencatatkan paras 33 sen, manakala Salutica menambah lima sen kepada 76.5 sen dan Bumi Armada meningkat dua sen kepada 70 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas menguncup 15.57 mata kepada 10,539.22, Indeks FBMT 100 kerugian 15.68 mata menjadi 10,219.80 dan Indeks FBM Emas Syariah turun 25.87 mata kepada 10,886.06.
Sementara itu, Indeks FBM ACE lemah 9.09 mata kepada 5,337.24 dan indeks FBM 70 berkurangan 7.22 mata kepada 13,778.54.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 2.32 mata kepada 15,781.35, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menyusut 0.16 mata kepada 175.12 dan Indeks Perladangan lemah 8.48 mata kepada 6,832.05 manakala Indeks Tenaga meningkat 4.76 mata kepada 877.58.- BERNAMA
(FOTO HIASAN)