fb fb fb fb fb

Mangsa keracunan ikan buntal meninggal dunia, PKD buka siasatan

KLUANG, 9 April- Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kluang membuka kertas siasatan mengikut Akta Makanan 1983 berhubung kes kematian pasangan warga emas selepas memakan ikan buntal goreng, 25 Mac lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menjalankan siasatan di lapangan termasuk mengenal pasti pembekal, pemborong dan penjual yang terbabit dalam urus niaga ikan beracun itu.

Katanya, JKNJ mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perikanan dan beberapa universiti tempatan yang mempunyai kepakaran dalam bidang perikanan serta toksin untuk mendapat penyelesaian menyeluruh berhubung isu berkenaan.

"Kerajaan negeri dan JKNJ mengambil maklum satu lagi kematian akibat keracunan makanan ikan buntal di Kluang," katanya dalam satu kenyataan pada malam Sabtu.

Warga emas berusia 84 tahun yang koma selepas makan hidangan ikan buntal bersama isterinya bulan lalu, disahkan meninggal dunia, hari ini, menjadikan dua mangsa maut akibat memakan ikan sama.Warga emas itu, Eng Kuai Sin@ Ng Chuan Sing meninggal dunia selepas dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Enche' Besar Hajjah Kalsom (HEBHK), sejak 25 Mac lalu.

Pada 29 Mac lalu, isterinya, Lim Siew Guan, 83, dilaporkan maut, manakala Kuai Sin dimasukkan ke ICU HEBHK selepas makan hidangan ikan berkenaan.

"Pada jam 5,20 pagi tadi, pesakit dikesan tidak responsif ketika jururawat menguruskan pesakit lain di HEBHK.

(Siew Guan (kiri) di samping Kuai Sin (kanan) korban keracunan ikan
buntal/FOTO IHSAN Ng Ai Lee)

"Bantuan kecemasan diberikan serta-merta selama 30 minit dengan kehadiran pegawai perubatan sebelum mangsa diisytihar meninggal dunia pada jam 6.20 pagi," katanya.

"Pesakit dipindahkan ke wad perubatan pada Rabu lalu dalam keadaan sedar dengan tanda vital stabil," katanya.

Tian Soon berkata, mayat diserahkan kepada Unit Forensik HEBHK sebelum dilepaskan kepada waris pada hari sama untuk tujuan pengurusan.

 

Media Baharu