fb fb fb fb fb

BSI terima bekalan elektrik tambahan TNB

Foto hiasan

JOHOR BAHRU, 7 Disember- Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Johor Bahru akan menerima bekalan elektrik tambahan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB), bermula tahun depan, bagi memastikan tiada insiden elektrik terpadam berlaku di fasiliti tersebut, seperti yang berlaku malam kelmarin.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, bekalan elektrik tambahan itu akan disalurkan daripada Pencawang Pembahagian Utama (PPU) TNB yang terdekat.

Inisiatif itu membolehkan BSI menerima TIGA sumber bekalan elektrik, iaitu dua daripada TNB dan satu daripada tujuh set penjana yang berada di bangunan BSI.

"TNB sudah kenal pasti beberapa PPU terdekat untuk kita tarik kabel sebagai sumber kedua. Maknanya kita sudah ada sandaran kedua daripada TNB,

"Sebelum ini TNB hanya ada satu sumber utama, sekarang TNB sudah ada sandaran tambahan dengan tujuh gen set sedia ada. Apabila kita tahu semalam ada masalah, jadi kita baiki untuk kos RM800,000," katanya selepas menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Penyelesaian Isu Banjir Kilat Kawasan Greater Johor Bahru di sini.

Tambahan bekalan elektrik daripada TNB itu juga membolehkan BSI terus menerima bekalan elektrik, sekiranya salah satu daripada PPU sedang diselenggara.

Tujuh set penjana yang sedia ada di BSI juga boleh terus menyalurkan elektrik kepada bangunan tersebut, sekiranya terdapat gangguan bekalan elektrik daripada TNB.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI