fb fb fb fb fb

Bot penumpang ditahan langgar syarat lesen di perairan Tanjung Harapan

Sebuah bot penumpang ditahan Maritim Malaysia Negeri Selangor kira-kira 0.2 batu nautika barat daya Tanjung Harapan / Foto Maritim Malaysia

PELABUHAN KLANG, 23 Julai – Sebuah bot penumpang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor kira-kira 0.2 batu nautika barat daya Tanjung Harapan, sekitar pukul 12 tengah hari semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata bot berkenaan ditahan ketika pasukan bot ronda Maritim Malaysia sedang menjalankan rondaan rutin di perairan Selangor.

“Hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki warga tempatan berusia 20 tahun yang mengendalikan bot tersebut turut ditahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

2307 MARITIM BOT PENUMPANG 2Foto Maritim Malaysia

Menurut beliau, semakan terhadap dokumentasi mendapati bot berkenaan telah melakukan kesalahan kerana melanggar syarat sah lesen yang ditetapkan.

“Kesalahan dikesan apabila nama nahkoda tidak tersenarai dalam lesen bot,” ujarnya.

Bot terbabit kemudiannya dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN