LABUAN, 19 Ogos - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melaksanakan 10,518 pemeriksaan berkaitan aktiviti Menghapuskan Bahaya Kebakaran (MBK) sehingga Jun 2025 di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, sebanyak 6,979 notis MBK dikeluarkan kepada premis yang dikenal pasti mempunyai risiko kebakaran.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Ir. Ts. Ahmad Izram Osman berkata, pemeriksaan tersebut mencapai 66 peratus daripada jumlah sasaran pemeriksaan MBK ditetapkan pada tahun ini, iaitu 18,500 pemeriksaan.
Ia melibatkan pemeriksaan di sektor pengilangan, premis perhotelan, pejabat, pusat beli belah, asrama, tempat perhimpunan dan industri-industri lain yang berisiko tinggi.
Selain aktiviti penguatkuasaan sedia ada, pasukan petugas khas turut ditubuhkan di peringkat jabatan, bagi melaksanakan pemeriksaan khas ke atas premis yang diubah suai dan dijadikan bilik sewa.
"Sehingga Julai 2025, sebanyak 140 pemeriksaan khas telah dilaksanakan di seluruh negara ke atas premis-premis yang berisiko ini. Ia selaras usaha jabatan untuk memastikan pematuhan terhadap piawaian keselamatan kebakaran, dicapai. Sekali gus dapat mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan juga harta benda dari kebakaran," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Seminar Organisasi Keselamatan Kebakaran (OKK) di Labuan.
Lebih 200 peserta dari pelbagai agensi menyertai seminar berkenaan. Hadir sama pada majlis itu, Pengarah JBPM Labuan Abd Rahman Ali.
Sementara itu, Datuk Ir. Ts. Ahmad Izram memaklumkan, OKK juga wajib ditubuhkan di setiap premis ditetapkan sebagai syarat untuk mendapatkan Perakuan Bomba (FC) yang menunjukkan pematuhan standard keselamatan kebakaran.
Kegagalan menubuhkan OKK, boleh disabit denda dan hukuman penjara jika tidak mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan.