fb fb fb fb fb

'Blueprint' Keterjaminan Makanan UPM inisiatif kukuh industri pertanian

Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir

SERDANG, 7 Jun- 'Blueprint' Keterjaminan Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM) dilihat antara inisiatif yang diyakini dapat menyumbang kepada pengukuhan industri pertanian negara.

Ia tidak hanya melibatkan keselamatan makanan semata-mata, bahkan meliputi keselamatan nasional.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, simbiotik atau rangkaian kerjasama dengan pelbagai rakan strategik serta pihak berkepentingan perlu diperkukuh ke arah membantu penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat dan negara dengan lebih berkesan, terutama dalam aspek tersebut.

"Pendekatan kerajaan madani pada hari ini ialah kita tidak bekerja secara berasingan. Kita perlu kerja bersama-sama antara kementerian bagi menjayakan matlamat negara dan misi negara kita iaitu dalam konteks makanan sebagai contoh.

"Dan saya menyebut tentang keselamatan makanan juga keselamatan negara. Jadi kita keluar dari kepompong pemikiran lama yang menganggap keselamatan negara hanya berkaitan dengan soal-soal pertahanan yang juga penting.

"Tetapi dalam masa yang sama, keselamatan negara juga berkaitan dengan keterjaminan makanan untuk rakyatnya," katanya kepada pemberita selepas majlis Pelancaran 'Blueprint' Keterjaminan Makanan UPM di sini yang dilancarkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Perkara itu sekali gus membantu menangani isu kecukupan bekalan makanan selain memperlihatkan peranan serta fungsi institusi pengajian tinggi dalam menyediakan penyelidikan, inovasi, dan pendidikan diperlukan untuk mengatasi cabaran global tersebut.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI