fb fb fb fb fb

Berita baik daripada kerajaan diharap beri keceriaan kepada rakyat- Fahmi

Fahmi Fadzil / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 Mac- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berharap berita baik yang diterima rakyat hari ini dapat menceriakan mereka menjelang sambutan Aidilfitri.

Beliau berkata antaranya pengumuman agihan keuntungan Lembaga Tabung Haji (TH) selepas zakat sebanyak 3.25 peratus iaitu tertinggi dalam tempoh tujuh tahun, yang juga menunjukkan keupayaan ekonomi negara selain membuktikan Kerajaan MADANI berada di landasan betul.

"Sebelum ini, saya rasa orang selalu merasakan berita baik tentang kadar pertumbuhan ekonomi itu hanya satu angka yang tak menyentuh kita.

"...tetapi kita lihat ada pengumuman (dividen) KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) 6.3 peratus bagi konvensional dan syariah, kita lihat Tabung Haji 3.25 peratus tertinggi dalam tempoh tujuh tahun.

"Manakala pengumuman tentang bayaran STR (Sumbangan Tunai Rahmah) yang akan bermula dalam masa beberapa hari serta bonus hari raya untuk penjawat awam... pada sidang media pasca Mesyuarat Kabinet lepas, saya jawab ia belum dibincangkan tetapi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini telah putuskan," katanya pada Sambutan Hari Seniman 2025 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Nik Kamaruzaman Nik Husin dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.

Fahmi turut mengingatkan rakyat supaya berhati-hati dengan 'scammer' yang mungkin mengambil peluang memperdayakan mangsa ketika banyak pemberian diagihkan pada masa ini.

"Berhati-hati, tak pasti jangan kongsi. Kalau kita terima apa-apa pautan atau mesej janggal dan ganjil daripada kawan-kawan kita (seperti) meminta pinjam duit, tak mustahil itu adalah kerja 'scammer'.

“Jadi tolong berhati-hati dengan duit yang kita terima menjelang Aidilfitri," katanya.

Perdana Menteri hari ini memaklumkan kerajaan bersetuju menyalurkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri sebanyak RM500 kepada penjawat awam gred 15 dan ke bawah yang akan dibayar pada 24 Mac.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata BKK Aidilfitri sebanyak RM250 pula akan dibayar kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta tidak berpencen.

Selain itu, TH mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.25 peratus bagi tahun kewangan 2024, kadar tertinggi dalam tempoh tujuh tahun sejak 2018.

Kementerian Kewangan pula mengumumkan penyaluran bayaran STR Fasa Dua mulai Isnin ini kepada sembilan juta penerima yang melibatkan peruntukan RM1.7 bilion berbanding RM1.5 bilion pada tahun lepas.

Pada 1 Mac lepas, KWSP mengumumkan kadar dividen yang lebih tinggi iaitu sebanyak 6.30 peratus untuk Simpanan Konvensional dan Simpanan Syariah bagi tahun kewangan 2024.- BERNAMA

BERITA BERKAITAN: 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM