ALOR SETAR, 11 Mei- Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) diminta supaya memberi perhatian kepada isu runtuhan ban di Terusan Tengah milik Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) pada Isnin lepas kerana ia akan memberi kesan kepada jaminan keselamatan makanan negara.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sekiranya runtuhan ban itu tidak diperbaiki segera, ia akan menjejaskan penanaman padi di kawasan seluas 47,000 relong atau 13,350 hektar yang menghasilkan 66,750 tan padi.
Beliau berkata lebih 40,000 petani juga akan terkesan jika perkara ini tidak diatasi segera.
“Sekarang ini, musim untuk air masuk ke sawah dan kejadian runtuhan itu menyebabkan air tidak dapat disalurkan ke kawasan tertentu.
“Proses baik pulih perlu dibuat dalam tempoh dua minggu akan datang, jika tidak sawah seluas lebih 13,000 hektar itu akan terjejas,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Beliau berkata isu itu perlu diberi perhatian supaya struktur baharu yang lebih kukuh, kemas dan sesuai dapat dibina bagi memastikan kejadian sama tidak berulang pada masa hadapan.
“Ini melibatkan soal keselamatan makanan negara, sebab itu perlu diberi perhatian kerana kos untuk membina struktur yang lebih kukuh ini menelan belanja jauh lebih tinggi berbanding anggaran awal pembaikan biasa iaitu antara RM1.5 hingga RM1.8 juta,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata ketika ini usaha yang dijalankan lebih tertumpu kepada langkah meningkatkan air di terusan itu supaya kembali ke paras mencukupi bagi membolehkan loji rawatan air (LRA) yang terjejas kembali beroperasi.
(Ban seliaan MADA di Pelubang yang pecah)
“Kita mahu pastikan masalah bekalan air di kawasan terlibat dapat diatasi segera dan selepas itu baru kita akan fokus kepada langkah mengepam air ke sawah bagi tujuan pertanian pula. Setakat ini, 38,500 akaun pengguna masih terjejas akibat kejadian runtuhan ban itu.
“Ini kerana, LRA Pokok Sena masih belum beroperasi akibat insiden itu manakala LRA Jenun Lama hanya beroperasi pada kapasiti 70% disebabkan masalah sistem elektrikal dalaman. Ia dijangka dapat diselesaikan secara berperingkat dalam masa terdekat,” katanya
Dalam kejadian kira-kira 12.15 tengah hari Isnin lepas, struktur ban di Terusan Tengah milik MADA dekat Struktur Alor Limpah, Sungai Santap di Pelubang runtuh, menyebabkan air mentah di terusan berkenaan berkurangan sekali gus mengakibatkan lebih 30,000 akaun Syarikat Air Darul Aman (SADA) mengalami masalah gangguan bekalan air.