KUALA LUMPUR, 19 Mac- Harga jualan runcit Beras Putih Import (BPI) diturunkan antara RM2.00 hingga RM3.00 di pasaran berkuat kuasa esok.
Persetujuan itu dicapai kerajaan menerusi Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang berlangsung hari ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata inisiatif itu dapat membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup terutamanya di musim perayaan.
"Bagi meningkatkan pengedaran Beras putih tempatan di pasaran, semua stok semasa padi dan beras yang telah dibeli oleh pengilang dapat diproses dan dikeluarkan untuk kegunaan pasaran tempatan dengan serta merta.
"Keseluruhannya, berjumlah 140,000 tan.
"Kerajaan turut bersetuju semua Kontrak Kerajaan mengguna pakai sepenuhnya BPI.
"Melalui kaedah itu, bekalan tambahan Beras Putih Tempatan (BPT) sebanyak 20,000 tan dapat diedarkan sepenuhnya di pasaran pada April ini," katanya menerusi kenyataan.