fb fb fb fb fb

Bentang dan bahas LKAN di parlimen atas kepentingan awam - Johari

KUALA LUMPUR, 6 Jun- Keputusan untuk membentang dan membahaskan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) di Parlimen dibuat atas kepentingan awam.  

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul menjelaskan, laporan itu perlu dibicarakan secara terbuka untuk tindakan pada masa hadapan.

“Soalnya sekarang ini ialah kita ingin membincangkan satu laporan yang tidak pernah dibuat dan inilah permintaan dari bawah (rakyat) supaya kita membincangkan kedudukan wang negara dan bagaimana bertindak pada masa hadapan,” tegas Johari.

“Untuk maklum saya adalah bekas pegawai kerajaan (PTD), saya juga bekas ahli Dewan Rakyat, saya juga mendengar keluhan ramai pegawai-pegawai dan rakyat yang meminta supaya laporan audit ini dibicarakan secara terbuka.

Tambahnya, apa yang berlaku ialah PAC membuat laporan, seterusnya pertanyaan atau inquiry PAC. Namun agak malang memandangkan tidak banyak perkara disebut PAC dilaporkan kepada awam.

“Sebab itu apabila saya jumpa pegawai-pegawai PAC… saya merasakan bahawa laporan ini harus dibincangkan di dalam dewan ini,” jelas Johari lagi.


(Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul)

Terdahulu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong telah membuat keputusan supaya usul tersebut dibenarkan untuk dibahaskan.

“Dalam isu berkenaan laporan ketua audit ini Majlis Dewan Rakyat dan PAC (Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara) masing-masing boleh memainkan peranan mereka berlandaskan peraturan mesyuarat. Oleh itu saya membenarkan isul ini dibahasakan di dewan ini,” katanya.

Sebelum itu usul mengenainya dibangkitkan Ketua Whip Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang menyatakan Laporan Ketua Audit Negara itu tidak perlu dibahaskan dan hanya perlu dibentangkan di atas meja ahli Parlimen sahaja.

“Semakan dan kajian menunjukkan sepanjang Dewan Rakyat di negara ini, tidak pernah laporan Ketua Audit dibentang untuk dibahaskan berdasarkan peruntukan Perkara 107 Fasal 1.

“Atas dasar itu, kami berpandangan bahawa usul untuk membolehkan laporan Ketua Audit Negara 2021 dibahaskan adalah bertentangan dengan peraturan mesyuarat dan Perlembagaan.

“Oleh itu, pembangkang mohon arahan untuk Yang di-Pertua Dewan Rakyat menyatakan apakah asas laporan Ketua Audit dibahaskan?” soalnya Takiyuddin pada penghujung sesi soal jawab lisan hari ini.

Usul itu juga menjadikan Dewan Rakyat kecoh apabila ke semua ahli Parlimen pembangkang tidak bersetuju terhadap usul tersebut dibahaskan, manakala ahli Parlimen blok kerajaan mahu sebaliknya iaitu usul dibahaskan di Dewan Rakyat bagi mengetahui ketirisan yang berlaku dalam tempoh tersebut.

Antara yang bangun menyokong ialah Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer. Beliau menyatakan pembangkang sengaja tidak mahu perkara tersebut dibahaskan kerana berlaku ketirisan sepanjang pentadbiran kerajaan dahulu.

“Saya percaya pihak pembangkang tidak mahu laporan audit dibahaskan kerana berlaku ketirisan ketika darurat diisytiharkan, ketika pimpinan Yang Berhormat Pagoh, Banyak ketirisan dilaporakan dalam laporan itu,” jelas Rayer.

Media Baharu