fb fb fb fb fb

Belanjawan 2026: RM1.4 bilion bela nasib OKU

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 Oktober - Bantuan hampir RM1.4 bilion akan disalurkan bagi membela nasib Orang Kurang Upaya, (OKU) menerusi pelbagai inisiatif tahun depan.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, peruntukan itu meliputi bantuan kepada OKU kronik terlantar, OKU tiada upaya bekerja dan Elaun Pekerja OKU.

Sebagai usaha memperkukuh sokongan kepada komuniti autistik, Operasi Pusat Perkhidmatan Autisme (PPA) akan diperluaskan ke Labuan, Sabah dan Sarawak.

"Tahun ini kita menubuhkan Pusat Perkhidmatan Autisme (PPA) di Semenanjung. Operasi PPA akan diperluaskan ke Labuan, Sabah dan Sarawak untuk manfaat 13,000 OKU autisme dan keluarga mendapatkan sokongan bersepadu," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar berkata, Prasarana Malaysia Berhad komited menambah baik akses mobiliti bagi golongan OKU dengan penyediaan 100 buah van mobiliti khas.

“Van ini berupaya membawa sehingga tiga penumpang berkerusi roda dan dilengkapi dengan sistem pengangkat kerusi roda," tambahnya lagi.

Kerajaan juga bercadang menaikkan kadar pelepasan cukai pendapatan individu ke atas perbelanjaan pemeriksaan dan pengesanan, program intervensi awal serta rawatan pemulihan berterusan bagi anak kurang upaya berumur 18 tahun ke bawah kepada RM10,000 ketimbang RM6,000.

EMMI NORALIZA ADNAN