KUALA LUMPUR, 11 Oktober - Langkah memperluas Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dan meneruskan pembinaan kediaman rakyat dalam Belanjawan 2026 membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kehidupan dan kesejahteraan rakyat dipertingkat.
Usaha ini merangkumi pelbagai inisiatif pembangunan perumahan yang bertujuan mengurangkan beban memiliki kediaman sendiri, terutama bagi golongan yang baru memulakan kehidupan berkeluarga atau melangkah ke alam pekerjaan.
Pembantu Kanan Muzium Negara, Azmi Mat menyifatkan pembinaan rumah mampu milik dan penyediaan kemudahan perumahan yang selesa sejajar dengan matlamat untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat secara menyeluruh.
"Pada pandangan saya, langkah ini amat baik kerana dapat membantu golongan muda memiliki rumah pertama serta memberi peluang kepada golongan luar bandar untuk mempunyai rumah sendiri," katanya kepada RTM ketika ditemui pada Temasya Riuh Sekampung di Muzium Negara, hari ini.
Sementara itu, Kurator Muzium Negara, Salmiahwati Djafar menyifatkan penyediaan kemudahan yang lebih manusiawi di kawasan Program Residensi Rakyat (PRR), termasuk penggantian lif-lif usang, sebagai satu langkah proaktif yang menjaga keselamatan penghuni.
"Inisiatif ini dapat membantu menyediakan kemudahan kepada orang awam, terutamanya golongan warga emas dan orang kurang upaya. Oleh itu, saya berharap melalui inisiatif ini, lif-lif lama yang telah rosak akan dibaiki segera," katanya.
Pegawai Kanan Yayasan Warisan Johor, Nur Khadijah Hassan pula menyambut baik langkah memperluas SJKP kerana membantu golongan yang berdepan cabaran dalam mendapatkan pinjaman perumahan.
"Pada pandangan saya, SJKP sangat membantu golongan pekerja gig dan juga mereka yang bekerja sendiri untuk mendapatkan peluang membeli rumah. Ini kerana kita tahu golongan ini memang sukar untuk memohon pinjaman perumahan. Oleh itu, skim ini merupakan satu inisiatif yang baik dan wajar diperkenalkan kepada masyarakat," katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan meneruskan usaha membina lebih banyak kediaman rakyat merangkumi pelbagai inisiatif pembangunan perumahan bagi manfaat seluruh rakyat, menerusi Belanjawan 2026.
Langkah itu merangkumi pelaksanaan Program Residensi Rakyat (PRR) dan Rumah Mesra Rakyat, dengan peruntukan sebanyak RM672 juta.
Beliau turut mengumumkan SJKP akan diperluas dengan menawarkan jaminan kepada 80,000 lagi pembeli rumah pertama.
Selain itu, had keseluruhan jaminan ditingkatkan kepada RM20 bilion berbanding RM10 bilion sebelum ini, yang akan membantu lebih ramai pekerja gig dan bekerja sendiri memiliki rumah.
Selain itu, kerajaan bertekad menyediakan kemudahan kawasan PRR yang lebih manusiawi membabitkan peruntukan RM143 juta untuk selenggara rumah strata kos rendah sederhana termasuk penggantian lif-lif yang usang.