fb fb fb fb fb

Belanjawan 2025 tumpu pelaksanaan pembaharuan - Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 25 Julai- Belanjawan 2025 akan menumpukan mengenai pelaksanaan pembaharuan ke arah mencapai hasrat Ekonomi MADANI.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata belanjawan yang dibentangkan sebelum ini telahpun menyentuh soal penstrukturan semula negara.

"Belanjawan sebelum ini telah pun menemui pelbagai cara penambahbaikan termasuk pindaan dan langkah-langkah berterusan dalam menambahbaik tatakelolanya.

"Ini sebagai prasyarat sebelum kita dapat laksanakan dengan berkesan.

"Dan ini yang kita tekankan menaikkan siling, supaya penstrukturan semula ekonomi itu dalam memacu pertumbuhan, maknanya daya cipta, daya saing, pendigitalan, bidang AI (kecerdasan buatan) yang diterokai dan juga platform dalam penjawat awam, perkhidmatan awam umumnya," katanya ketika berucap pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2025 bersama Perdana Menteri dan Menteri Kewangan di sini.

Beliau turut menambah, kaedah baharu perlu digunakan bagi menghasilkan pendekatan atau dasar baharu.

Ini termasuk cubaan menaikkan siling dan lantai, dalam memastikan kesemua golongan dapat menikmati pembaharuan yang dilakukan.

Dalam pada itu, Anwar berkata agensi penguatkuasaan dan penjawat awam digesa memberikan perkhidmatan yang lebih berkesan.

Jelas Anwar, ia bagi memastikan inisiatif pelarasan gaji yang akan dilaksana kerajaan, bergerak seiring dengan budaya kerja yang lebih cekap.

Beliau turut menegaskan bahawa penjawat awam perlu mengekalkan budaya berintegriti bagi mengekang ketirisan dan salah laku.

"Saya tentunya mulakan dengan menggesa rakan-rakan yang terlibat termasuk dalam agensi penguatkuasaan supaya lebih pantas dan berkesan dalam tindakan mereka.

"Penjawat awam perlu lebih efisien, kita mahu laksanakan pelarasan gaji, tapi tak munasabah kita laksana jika tidak ada perubahan nyata, jelas, 'reform' (pembaharuan) daripada segi memastikan kecekapan, mengelak daripada kebocoran, ketirisan dan rasuah," kata Anwar.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM