fb fb fb fb fb

Belanjawan 2025: SST dan cukai dividen ditambah baik, tidak bebankan rakyat

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 18 Oktober –Pelaksanaan cukai jualan dan cukai perkhidmatan akan ditambah baik termasuk cukai dividen yang akan diperluas secara progresif, namun tidak akan membebankan rakyat awam.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, cukai jualan tidak akan dikenakan ke atas barangan makanan asas yang digunakan oleh rakyat. Cukai tersebut hanya akan dikenakan ke atas barangan bukan keperluan asas seperti barang premium yang diimport, mengambil contoh ikan salmon dan avokado.

Bagi cukai perkhidmatan, Perdana Menteri berkata cukai itu akan diperluas meliputi perkhidmatan komersial antaranya perniagaan seperti perkhidmatan kewangan berasaskan fi.

Justeru bagi memastikan kelangsungan perniagaan, Anwar berkata sesi libat urus dengan pihak berkepentingan serta industri berkaitan akan diadakan sebelum memuktamadkan skop peluasan dan kadar cukai yang dikenakan.

“Peluasan skop SST secara progresif akan dilaksanakan berkuat kuasa 1 Mei 2025," jelas Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat.

Tambahnya, sebahagian hasil akan dimanfaat untuk menambah baik bantuan tunai kepada rakyat terbanyak selain meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan dan kesihatan. 

Berhubung cukai dividen, kerajaan bercadang untuk memperkenalkan cukai dividen pada kadar dua peratus ke atas pendapatan dividen melebihi RM100 ribu yang diterima oleh pemegang saham individu bermula tahun taksiran 2025.

“Ikhtiar ini dilaksanakan supaya cukai pendapatan yang dikutip tidak hanya bergantung kepada sumbangan penerima gaji, tetapi turut merangkumi sumbangan pemilik syarikat serta individu dengan milikan harta saham jutaan ringgit,” katanya.

Tambahnya, pertimbangan akan diberikan bagi mengecualikan pendapatan dividen daripada simpanan Kerajaan seperti KWSP, amanah saham di bawah PNB dan pendapatan dividen dari luar negara.

MAT YUNUS BIN SABRI