KUALA LUMPUR, 18 Oktober - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) diperuntukkan sebanyak RM60 juta menerusi Belanjawan 2025.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan itu bertujuan mempertingkat usaha penguatkuasaan dalam membanteras ketirisan wang rakyat.
"Sejak 2022 hingga September 2024, KPDN dan JKDM berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dengan hasil rampasan mencecah hampir RM2 bilion," katanya dalam pembentangan Belanjawan 2025 Malaysia MADANI di Parlimen, hari ini.
Dalam usaha untuk memecahkan penguasaan kartel, Anwar berkata Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) turut menerima peruntukan sebanyak RM27 juta.
"Setakat September 2024, MyCC berjaya memecahkan tembok penguasaan kartel dan penipuan bida dengan penalti berjumlah hampir RM600 juta melibatkan lebih 350 syarikat," tambah Anwar.