fb fb fb fb fb

Belanjawan 2025: PIKAS kukuh kerjasama awam-swasta

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 18 Oktober – Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) telah menggariskan hala tuju yang ampuh dalam memperkukuh hubungan strategik antara sektor awam dan swasta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tumpuan utama PIKAS ialah untuk meningkatkan pelaburan swasta sebanyak RM78 bilion serta menjana 900,000 peluang pekerjaan menjelang 2030.

Katanya, pelaksanaan projek pembangunan di bawah PIKAS akan mengambil kira elemen 'pengguna bayar' bagi mengurangkan bebanan fiskal Kerajaan.

"Antara projek berkepentingan rakyat yang menggunakan pendekatan Kerjasama Awam-Swasta (PPP) termasuklah Hospital Sultanah Aminah 2 di Johor; Lebuhraya Bertingkat Juru dan Sungai Dua di Pulau Pinang.

"Selain itu, Lebuhraya WISE dari Gopeng ke Kuala Kangsar di Perak; Projek Tanaman Padi Lima Musim Dua Tahun di kawasan MADA, Kedah dan Perlis; serta Lebuhraya WCE bagi jajaran Banting ke Gelang Patah yang diberi keutamaan dalam perancangan," katanya dalam pembentangan Belanjawan 2025 Malaysia MADANI di Parlimen, hari ini.

Anwar berharap, projek-projek tersebut dapat memastikan pembangunan infrastruktur negara dapat diteruskan dengan lebih efisien ke arah mengurangkan beban kewangan Kerajaan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN