fb fb fb fb fb

Bekas jurulatih kebangsaan, Sathianathan meninggal dunia akibat kanser

(FOTO FAIL)

KUALA LUMPUR, 18 Julai - Arena bola sepak negara menerima perkhabaran duka berikutan pemergian bekas pengendali skuad Harimau Malaya, B. Sathianathan yang meninggal dunia akibat kanser di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), hari ini.

Pemergian Sathianathan disahkan Pengerusi Jawatankuasa Media, Komunikasi dan Perhubungan Awam Persatuan Bola Sepak (FAM), Christopher Raj menerusi hantaran di twitter.

(Sathianathan telah melawan kanser yang dihidapinya hampir setahun)

Katanya, Sathianathan menghembuskan nafas terakhir pada pukul 1.25 tengah hari.

Mendiang, kata Raj telah melawan penyakit itu hampir setahun dan telah berada di hospital untuk menerima rawatan sejak dua hingga tiga bulan lepas.

Sementara itu, FAM turut mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang atas pemergian Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) itu.

Pencapaian terbaik mendiang adalah ketika mengemudi skuad bawah 23 tahun (B-23) untuk menjuarai Pestabola Merdeka 2007 dan dilantik sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya sehingga awal 2009.

Bekas pemain Negeri Sembilan itu pernah menjadi jurulatih beberapa pasukan tempatan antaranya Kelantan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Felda United, Selangor dan kali terakhir sebagai pengendali Sarawak United.

Sathianathan sebelum ini terpaksa berehat seketika daripada arena bola sepak selepas menjalani rawatan kesihatan, tahun lalu.

Media Baharu