fb fb fb fb fb

Hasil rampasan jadi bahan bukti sokongan, tentukan status akidah pengikut GISBH

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 22 September- Bahan-bahan rampasan berkaitan kumpulan GISB Holdings Sdn. Bhd (GISBH) yang dibuat menerusi Op Global Fasa 4 akan dijadikan asas dalam Kertas Laporan untuk dibincang dan diputuskan dalam Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (Muzakarah MKI) kelak.

Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) menerusi Ketua Pengarahnya, Datin Hakimah Mohd Yusoff memberitahu keputusan Muzakarah MKI mengenai status doktrin kumpulan GISBH itu akan menjadi panduan kepada pihak berkuasa agama negeri dalam mengeluarkan fatwa bagi membolehkan proses pendakwaan terhadap ajaran kumpulan berkenaan dibawa ke Mahkamah Syariah.

Beliau berkata, Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (Muzakarah MKI) akan berlangsung pada 24 hingga 26 September 2024.

Jelasnya, susulan Op Global Fasa 4 yang dilancarkan PDRM dengan kerjasama beberapa agensi lain termasuk JAKIM, terdapat beberapa rampasan bahan-bahan yang boleh dijadikan bukti sokongan terhadap pegangan akidah pengikut kumpulan GISBH.

" JAKIM amat menghargai kerjasama semua agensi yang terlibat khususnya pihak PDRM dalam membantu JAKIM bagi melengkapkan bahan bukti untuk tujuan tersebut.

" Penghargaan juga kepada pihak Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) yang memberi kerjasama erat kepada JAKIM selama ini bagi memastikan proses penentuan status pegangan akidah dan syariah pengikut GISBH dapat diputuskan secara tuntas.

Menurutnya lagi, JAKIM, bawah arahan YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa berusaha bagi memastikan pegangan akidah dan syariah umat Islam di negara ini sentiasa selari dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Sebarang usaha yang boleh mencemarkan kesucian ajaran Islam akan dibendung dengan kerjasama semua pihak," katanya.

2209 JAKIM GISBH 2FOTO BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE